Sunday, 24 September 2017

Geopolitik: Satu Penilaian Kasar dan Idealisme Penulis


1. POPULARITI ISTILAH GEOPOLITIK DAN KONTEKS PERBINCANGANNYA DALAM KALANGAN MASYARAKAT MALAYSIA YANG CAKNA

Rata-rata konflik yang berlaku pada hari ini melibatkan "Orang Islam" sebagai salah satu daripada aktor -aktor utama yang berada dalam gelanggang (biasanya sebagai bola yang ditendang). Romantism terhadap khilafah, semangat ummah dan juga pengetahuan berkaitan ramalan-ramalan akhir zaman yang disebut dalam hadis-hadis nabi SAW merupakan antara faktor penting yang menarik perhatian masyarakat muslim terhadap perbincangan geopolitk, khususnya yang melibatkan konflik di Timur Tengah. Masyarakat non muslim pula cenderung ke arah perbincangan spektrum politik (kiri dan kanan), isu-isu kemanusiaan sejagat dan perbahasan ideologi. Tetapi buat masa sekarang saya akan lebih cenderung untuk mengupas topik daripada pemerhatian saya terhadap cara masyarakat muslim membincangkannya kerana kebanyakan "pesudoscience" dan obsesi terhadap teori konspirasi saya dapati wujud dalam kalangan muslim negara ini.

Baik, kita sambung perbincangan kita yang saya telah jelaskan tadi menurut kaca mata siapa dan mengapa. Melihat kepada kepincangan dan pertumpahan darah di negara timur tengah menyebabkan mereka yang prihatin menceburi pembacaan dan pengkajian geopolitik untuk "makes sense" hubungan antara tanah dengan konflik politik yang berlaku. Pelbagai sudut telah diselami, daripada perbahasan mengenai bangsa seperti "jewish diaspora" dan konflik kabilah arab sehingga ke analisis hubungan antara sumber alam dan tindakan politik seperti "petro dollar". Tidak terlepas juga ialah perbincangan konfik politik dalam kerangka agama seperti "syiah", "wahabi", dan "Ikhwanul Muslimin". Tetapi saya ingin mengulang kembali perkara yang saya dapati secara tersurat dan juga tersirat disampaikan oleh beberapa ahli hubungan antarabangsa yang saya ikuti secara rapat: Geopolitik lebih luas daripada sekadar syiah, wahabi dan yahudi. Berhati-hati ketika mengaitkan konflik yang berlaku khususnya di Timur Tengah dengan agama secara mutlak walaupun tidak dinafikan peranan agama sebagai "smokescreen" untuk menutup konflik sebenar yang berlaku.

2. DISKLAIMER

Seperti anda, saya merupakan seorang warga awam yang tertarik dengan perbincangan geopolitik tetapi seperti yang saya sebutkan tadi, saya hanya orang awam, bukannya ahli yang anda patut rujuk untuk memahami topik ini. Tetapi saya cuba untuk menukilkan sesuatu yang saya faham melalui pembacaan beberapa mata kuliah berkaitan geopolitik, pengetahuan mengenai isu semasa yang berlaku, dan pemerhatian saya terhadap ulasan warga yang bekerja di lapangan seperti pegawai tadbir diplomatik (PTD) dan diplomat serta tulisan pensyarah dan pelajar disiplin berkaitan seperti sains politik dan hubungan antarabangsa.

3. PANDUAN MENERUSKAN PEMBACAAN DAN PENGKAJIAN

Sebagai warga awam yang ingin mempelajari satu topik yang bagi saya amat sukar dan rumit, kita perlu sediakan beberapa panduan yang harus kita ikuti dan hayati sepanjang perjalanan meneliti isu isu global dan membaca apa apa tulisan yang menukilkan istilah "geopolitik".

Ini amat penting supaya kita tidak terikut-ikut dengan kefahaman yang salah. Seperti adanya penafsiran berunsurkan "pseudoscience" dalam perubatan dan "natural science", hal yang sama juga berlaku dalam "social science". Adapun geopolitik ini ialah adunan antara kedua-dua "natural science" dan juga "social science", kerana seperti yang dapat dilihat daripada nama istilah tersebut sendiri, ia merupakan gabungan perkataan "geografi" dan "politik". Geografi boleh dicerahkan melalui pelbagai spektum cahaya penafsiran, daripada sumber semulajadi, bentuk muka bumi, iklim, cuaca, pencemaran alam, dan wabak penyakit sehinggalah ke taburan penduduk, migrasi, pelancongan, budaya setempat, sejarah penduduk, pentadbiran dan siyasah, hieraki sosial, keselematan rantau, dan ekonomi. Biasanya perbincangan geopolitik akan lebih berat ke arah "social science".

Kita perlu sediakan soalan-soalan penting yang mesti kita jawab supaya kita tidak lemas dalam lautan perbahasan yang sangat luas ini. KIta perlu tahu definisi istilah, sejarah penggunaan istilah, pengubahsuian yang dibuat terhadap istilah, wilayah-wilayah penggunaan istilah, tokoh-tokoh penting yang berkaitan istilah, dan asas-asas yang menjadi tiang kepada istilah.

Jadi setiap penelitian terhadap isu-isu terkini mesti dikaitkan dengan tiang yang membentuk istilah. Isu-isu politik dunia biasa berlaku dalam "pattern" yang serupa. Maka kita perlu dalami beberapa "pattern" yang dikemukan oleh saintis-saintis bidang berkaitan dan menjadikannya sebagai kerangka untuk menilai isu dan konlik semasa yang berlaku.

Pada masa sama kita juga harus menjawab dan membetulkan kekeliruan akibat penafsiran-penafsiran "pseudoscience" yang timbul dan berusaha untuk berlaku adil kepada bidang ini dengan mengiktirafnya sebagai satu disiplin dan mempunyai ahli yang memegang autoriti. Maka penilaian kita harus bersumberkan autoriti tetapi tidaklah salah untuk mendengar pandangan peribadi insan yang berpengalaman dalam bidang siyasah tetapi autoriti yang mengkaji bidang ini sebagai satu disiplin perlu diutamakan.

Pada masa sama kita tidak pernah menidakkan ramalan akhir zaman yang disebut dalam al quran mahupun hadis. Tetapi pemahaman kita perlu bersumberkan ahlinya yang mengkaji ilmu fitan. Reaksi kita yang sepatutnya bukanlah ketakutan dan patah harapan tetapi reaksi yang sepatutnya ialah persiapan amalan dan pembangunan umat. Menghayati surah al kahfi dan melakukan amal soleh jatuh bawah wilayah persiapan amalan. Mengajak umat menuntut ilmu, menambahbaik ekonomi, membina tamadun, mengurangkan kadar jenayah, dan menimbulkan kesedaran akhlak merupakan strategi bawah pembangunan umat.

Diharapkan penulisan saya menyajikan sesuatu yang bermanfaat untuk pembaca ambil iktibar. Jadikanlah tulisan saya sebagai pencetus kepada kesedaran dan semangat untuk merujuk topik-topik yang dibincangkan kepada ahli yang lebih pakar. Saya hanya orang awam yang membaca dan mengkaji, tetapi sekurang-kurangnya saya dapat berikan anda "trigger" untuk tahu kewujudan topik yang dibincangkan dan perlu dikaji dalam perbahasan geopolitik yang sangat luas dan merentas disiplin ini.


Saturday, 23 September 2017

Belajar dan Berkomentar Dalam Pelbagai Disiplin


Banyak orang sekarang terutama di media sosial yang rata-rata sibuk untuk menjadi hakim, pakar ekonomi, doktor, ustaz, ahli falak dan penganalisis geopolitik segera tetapi mereka bukan ahli, mereka gagal memahami konsep, melanggar disiplin, dan terpengaruh dengan teori-teori yang tidak sahih.

Saya ingin memberi satu analogi. Apabila kita bertemu frasa-frasa dalam bahasa yang tidak difahami dalam mana mana "posting" Facebook, biasa akan ada pilihan untuk "translate" yang anda boleh jumpa terletak di satu sudut di bahagian bawah posting tersebut. Melalui opsyen ini, pembaca dapat memperoleh sedikit gambaran perkara yang cuba diperkatakan oleh posting dalam bahasa asal. Namun jika anda perhatikan, terjemahan yang ditawarkan kepada anda itu sangatlah tunggang langgang dan mengelirukan. Ini kerana kekurangan yang terdapat pada sistem mesin itu sendiri untuk menterjemah secara tepat.

Begitulah juga sebenarnya keadaannya apabila seorang manusia cuba memproses perkara yang di luar batas ilmu, skop, pengkhususan dan pemahamannya. Tunggang langgang juga analisis yang bakal dikeluarkannya. Tidak faham ekonomi, sosiologi, perubatan, ilmu tafsir Quran contohnya, tidak tahu metodogi dan disiplin untuk melakukan analisis, kemudian dia memberi qaulnya yang semestinya bercelaru sini sana tidak ubah seperti kecelaruan Google Translate melakukan proses penterjemahan bahasa. Lebih teruk jika pendapatnya yang lemah itu sudah digoreng dengan rencah-rencah "Dunning-Kruger effects", menyebabkan si pemberi "fatwa" berasa dia sudah mencapai tahap ketertinggian intelek yang sempurna dan menganggap hujah separuh masaknya adalah yang paling rencam dan tidak terkalahkan oleh mana mana pihak sehingga mereka yang benar benar ahli juga dipertikaikan.

Bukanlah bermaksud tidak boleh secara mutlak untuk seorang hamba Allah itu mengkaji bab bab yang bukan bidangnya. Misalnya saya bukan ahli tafsir tetapi saya membaca al Quran dan saya ada tanggungjawab dalam kapasiti saya untuk faham perkara perkara penting yang disampaikan al Quran. Saya bukan ahli fekah tetapi saya puasa dan solat jadi saya perlu tahu asas fekah berkaitan ibadat tersebut. Saya bukan ahli ekonomi tetapi setiap hari saya terlibat dalam urusan jual beli dan muamalat. Saya bukan ahli sains politik dan hubungan antarabangsa tetapi saya bakal mengundi satu hari nanti dan saya sebagai seorang penduduk bumi yang cakna mengambil berat akan isu isu semasa yang sedang menjadi perbualan hangat seperti krisis palestin-israel, pergolakan timur tengah, perjanjian perjanjian yang memberi impak kepada alam sekitar seperti "Paris Climate Agreement" dan lain lain. Sebagai seorang pencinta bahasa, saya juga mengambil serius akan pengetahuan dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.

Malah cuba untuk memahami perkara yang bukan dalam skop pengkhususan saya menyebabkan saya lebih menghargai mereka yang berada di bidang tersebut. Contohnya pembacaan saya mengenai "tourism study" menyebabkan saya tahu kerja pelajar jurusan pelancongan bukan "pergi melancong" dan pengetahuan mengenai bidang pertanian, sains tumbuhan misalnya mencegah saya daripada bertanya soalan bodoh seperti "kerja hampa tanam pokok sahaja kah?". Pemahaman saya yang sedikit mengenai jurusan lain menyebabkan saya nampak kedudukan dan peranan saya, berbekalkan pengkhususan dalam bidang saya sendiri, dengan lebih jelas dalam usaha ke arah pembentukan tamadun Malaysia yang gemilang. Dengan pembacaan ke atas bidang yang pelbagai, saya juga akan lebih menghormati tindakan yang diambil oleh pihak pihak yang berkenaan apabila berhadapan dengan satu satu isu yang mungkin nampak pelik bagi sesetengah orang tetapi tidak pelik bagi yang faham. Contohnya memahami bidang seperti seni diplomasi dalam hubungan antarabangsa, saya tidak terikut ikut dengan netizen yang mengutuk dan melabel Wisma Putra bodoh apabila mereka menghalau diplomat Korea Utara ketika berlaku konflik antara Putrajaya dan Pyongyang susulan daripada kes pembunuhan Kim Jong Nam beberapa bulan lepas. Saya kini faham kita tidak akan mampu membina sebuah negara bertamadun pada masa hadapan tanpa paritispasi warga muda daripada semua bidang pengkhususan, dan saya lebih menghormati mereka yang memegang autoriti dalam bidang pengkhususan mereka.

Dengan perbincangan dengan pelajar daripada jurusan pelbagai, kita dapat merancakkan budaya ilmu dan cakna akan pengetahuan yang akan memberi rasa kenyang kepada jiwa yang laparkan kefahaman. Bukankah kita setuju bahawa ilmu itu bukan sekadar untuk mencari pekerjaan tetapi juga untuk membina manusia yang berintelek dan berminda kelas pertama? Jadi pembentukan intelek ini dapat disuburkan dengan forum forum ilmiah dan pertemuan profesional antara pelajar daripada pelbagai jurusan. Ali Shariati berkata "poverty is not a night spent without food but poverty is a day spent without thinking", jadi dengan memikirkan dan mempersoalkan kejadian alam dan fenomena sosial sekeliling saya yang jelas memerlukan ilmu yang bukan dalam satu bidang sempit sahaja, saya telah pun menyambut seruan galakkan untuk menghidupan budaya berfikir ini. Negara yang maju berakyatkan warga yang faham konsep "cultural currency". Saya percaya tajuk yang menjadi perbincangan yang dominan dalam kalangan masyarakat memberi gambaran mentaliti masyarakat itu. Jika perkara yang dibincangkan hanyalah lawak lawak kotor dan gosip artis pujaan, maka tahap intelek masyarakat itu sangatlah menyedihkan. Tetapi jika rakyat bersembang mengenai perkara ilmiah maka kita berada pada landasan yang betul ke arah pembentukan masyarakat harmoni.

Dan sekarang dalam bidang kesihatan yang mencanangkan sistem "patients centric", konsep "multidisciplinary approach" semakin rancak dikupas dan diperhalusi oleh universiti-universiti. Apakah signifikannya? Contoh, apabila seorang pesakit datang dengan masalah sakit gigi, dia juga mungkin datang dengan komplikasi lain seperti darah tinggi dan lain lain. Jadi dalam situasi ini penting untuk doktor gigi dan pelajar pergigian juga mengetahui asas yang dipelajari pelajar perubatan dan sebaliknya juga begitu.

Tetapi kita haruslah menghormati adab dan etika dalam menuntut ilmu. Kita perlu menghormati mereka yang ahli. Kita tidak boleh cakap ikut suka hati. Kita perlu ada sandaran kepada sumber yang sahih. Kita perlu menerima jika pemahaman kita yang mengarut dikecam. Kita perlu mengaku salah dan tidak arif. Seperti adanya "requirement" untuk menjadi mahir dalam bidang pengkhususan anda, "requirement" untuk penguasaan dalam bidang lain juga wujud. Saya kurang selesa dengan penggunaan istilah pengetahuan am kerana seolah-olah pengetahuan itu tiada disiplin khusus. Ilmu mesti dikejar secara serius dan bukan sekerat-seketat tetapi bergantung kepada tempat, masa, "availability and accessibility of information and scholars", kadang kala kita perlu akur dengan limitasi dan tetap berusaha mencari pengetahuan itu biarpun sedikit dengan azam jika ada peluang yang lebih baik untuk memperbaiki kefahaman, kita tidak akan melepaskannya. Dan suka untuk saya ingatkan diri yang selalu terlupa bahawa bidang pengkhususan kita telah pun menjadi fardhu ain jadi kepentingan utama sentiasa perlu diletakkan kepada pengkhususan utama.

Mengakhiri penulisan ini, saya ingin nyatakan pandangan seorang sahabat apakah beza pengkhususan dalam satu bidang dan pengetahuan am yang sekerat sekerat dalam bidang lain. Bagi pengkhususan berfokus dalam bidang spesifik, pelajarnya tahu sumber yang perlu dirujuk untuk merungkai sesuatu persoalan sesuai dengan konteksnya. Contohnya pathology saya kena rujuk Robin, anatomy saya kena rujuk snell. Kalau tahu sekerat sekerat, kita tidak ada kemahiran untuk merujuk dan menganalisis sumbernya. Tetapi ilmu sekerat sekerat ini jika dipelajari dengan cukup dalam secara berfokus, lama-lama pelajarnya akan berjaya menguasainya juga sebagaimana kejayaan dia mempelajari bidang pengkususannya. Golongan yang menguasai pelbagai bidang ini kita gelar polymath, tetapi harga yang mahal perlu dibayar untuk menjadi polymath ini bukan sekadar semudah menyebutnya di bibir, terutamanya kalau bidang pengkhususan utama pun tidak dikuasai dengan baik. Tetapi ruang untuk terus bergerak ke hadapan sentiasa ada dan tidak berputus asa ialah asas utama perjuangan, "so don't be discouraged".

Semoga kita menjadi lebih faqih dalam apa jua bidang yang kita ceburi dan pada masa sama cuba mengorek hikmah daripada bidang lain dengan cara yang betul.

Saturday, 25 March 2017

Masa Ibarat Pedang

Ada pepatah arab menyebut,
الوقت كالسيف، ان لم تقطعه قطعك

"Masa ibarat pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, kamu terpotong olehnya."


Saya pernah terjumpa satu gambar yang membandingkan keadaan hidup remaja dan orang dewasa. Remaja dikatakan mempunyai banyak masa dan tenaga tetapi tidak mempunyai wang. Orang dewasa pula mempunyai banyak wang tetapi sedikit tenaga dan masa.

Mengenangkan perkataan "tenaga" dan "masa", saya teringat sebuah hadith yang menyebut:
نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس الصحة والفراغ 

Dua nikmat yang banyak manusia sia-siakan ialah nikmat sihat dan waktu lapang.
(hadith riwayat bukhari)


Manusia memerlukan masa untuk melakukan segala-galanya. Sebut sahaja apa-apa pekerjaan, sama ada belajar, menyiapkan tugasan, bersukan dan juga beriadah, semuanya memerlukan sumber yang dikenali sebagai masa. Masa ialah aset berharga dalam kehidupan seseorang manusia.

Malangnya masa tidak seperti duit. Duit jika tidak dibelanjakan, maka ia tidak akan berkurangan. Duit juga boleh disimpan di dalam tabung sebagai persiapan untuk menghadapi saat-saat genting dalam hidup. Tetapi pernahkah kita mendengar istilah "menabung masa"? Masa, "digunakan" atau "tidak digunakan", akan sentiasa mengalir laju tanpa henti dan ia tidak boleh "disimpan". Bayangkan masa umpama duit yang sentiasa terbang keluar dari dompet sama ada kita membelanjankannya ataupun tidak membelanjankannya.

Sekiranya kita berfikir secara mendalam mengenai masa dan duit, maka kita akan dapati masa bukanlah soal "digunakan" atau "tidak digunakan". Masa ialah soal untuk apa ia digunakan. Tidak ada seorang pun yang "tidak menggunakan masa" walapun dia sedang "membuang masa". Masa akan sentiasa berkurang dan kita sentiasa berada dalam belenggu "defisit masa" dari saat kita dilahirkan sehinggalah saat kematian kerana masa tidak sama sekali boleh dikorek dari bumi seperti emas, perak dan petroleum, dicetak di bank seperti duit kertas, ditanam seperti hasil pertanian, diternak seperti lembu, kambing dan ayam, ditukar dengan sistem barter menggunakan lebihan barang lain dalam perniagaan mahupun diperoleh sebagai gaji untuk ditambah bagi mengatasi defisit.

Dalam surah al asr Allah berfirman:
   .{3} وَالْعَصْرِ {1}. إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ {2}. إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْر 
"Demi masa (1). Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian (2). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran (3)."

Jelaslah bahawa manusia yang tidak dalam kerugian masa hanyalah orang-orang beriman yang menggunakan masa dengan melakukan perkara-perkara berfaedah dan amal kebajikan.

Sesungguhnya dalam hidup ini kita tiada masa untuk memusuhi manusia dan menyibukkan diri dengan masalah yang tidak penting. Banyak lagi asas-asas fardhu ain yang belum dikuasai, banyak lagi ilmu-ilmu yang belum dipelajari, banyak lagi isu global yang belum difahami, banyak lagi anggota masyarakat yang belum dibela, dan terlalu banyak tanggungjawab yang belum terlaksana sedangkan masa kita kian lama kian bergerak laju ke arah penghujungnya.

Gunakanlah setiap detik yang ada dengan melakukan perkara-perkara yang membawa kepada peningkatan nilai diri dan meyumbang kepada keberdayaan masyarakat. Pengetahuan semasa dan ilmu yang dimiliki perlu sentiasa ditambah dan terus ditambah setiap hari terutamanya ketika sedang masih bergelar pelajar. Logik di sebalik lebih mengiktiraf potensi seorang pelajar berbanding orang dewasa dari sudut masa ialah masa lapang yang dimiliki oleh seorang pelajar masih belum perlu digunakan untuk memikul tanggungjawab yang lebih berat melainkan untuk meningkatkan potensi diri sebagai persiapan menghadapi fasa hidup yang lebih mencabar.

Ingatlah juga bahawa sebaik mana pun kita menggunakan masa, kita tidak akan pernah mampu untuk melakukan semua perkara. Natijah yang berkesan hanya boleh tercapai dengan kebaikan yang disusun secara terancang dan penyatuan potensi setiap anggota masyarakat setempat secara kolektif. Potensi dan kerberkesanan hasil usaha yang dilakukan oleh seseorang individu menggunakan kekuatannya sendiri sahaja bukanlah seperti kadar pertumbuhan dalam graf eksponen kerana ia akan sentiasa dihadkan oleh kekurangan yang dimiliki. Di sinilah keutamaan bergerak bersama individu-individu lain dalam satu kumpulan agar kekuatan masing-masing dapat mengatasi kelemahan masing-masing dan seterusnya melonjakkan potensi hasil yang boleh dituai daripada usaha yang digerakkan dengan nilai kerjasama.

Kesimpulannya masa bukan komoditi yang boleh dijual beli dan masa akan sentiasa bergerak cepat meninggalkan manusia. Manusia yang beruntung ialah mereka yang sentiasa mengoptimumkan penggunaan masa dengan melakukan kebajikan, amal soleh dan aktiviti yang melonjakkan kualiti diri dan masyarakat. Bergerak secara berpasukan dan saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran akan membawa untung di dunia dan juga di akhirat.

Bacaan Lanjut:
N, A. (n.d.). How `Amr bin Al-`As was aware of the Qur'an's Miracle due to this Surah. Retrieved March 25, 2017, from http://www.qtafsir.com/index.php?option=com_content&task=view&id=1086&Itemid=159#1

Monday, 13 March 2017

Makna di Sebalik Lagu "Russian" oleh Sting

Sting "Russians" Lyrics

In Europe and America,
there's a growing feeling of hysteria,
Conditioned to respond to all the threats,
In the rhetorical speeches of the Soviets,
Mr. Krushchev said we will bury you,
I don't subscribe to this point of view,
It would be such an ignorant thing to do,
If the Russians love their children too.
How can I save my little boy,
from Oppenheimer's deadly toy,
There is no monopoly in common sense,
On either side of the political fence,
We share the same biology,
Regardless of ideology,
Believe me when I say to you,
I hope the Russians love their children too.
There is no historical precedent,
To put the words in the mouth of the President,
There's no such thing as a winnable war,
It's a lie we don't believe anymore,
Mr. Reagan says we will protect you,
I don't subscribe to this point of view,
Believe me when I say to you
I hope the Russians love their children too.
We share the same biology,
Regardless of ideology,
What might save us, me, and you
Is if the Russians love their children too
______________________________________________
Ini ialah lagu yang digubah oleh Gordon Matthew Thomas Summer atau dikenali sebagai "Sting" pada tahun 1985 untuk mengecam tindakan kerajaan Amerika Syarikat dan Soviet bertelagah sesama sendiri dalam perang dingin disebabkan oleh ideologi.
"Peganglah ideologi apa-apa pun, komunis atau kapitalis kita semua tetap manusia dan sifat manusia itu ialah mereka menyayangi anak-anak mereka. Sekiranya kita menyayangi anak-anak , maka marilah kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokasi peperangan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa besar, tidak kiralah Amerika Syarikat atau Soviet atau sekarang Republik Russia." - ini ialah mesej tersirat sebalik makna lagu ini.
Nota Tambahan:
1) "Oppenheimer Deadly Toy" merujuk kepada bom atom, diinspirasikan daripada nama "Robert Oppenheimer", tokoh yang dikenali sebagai bapa bom nuklear.
2) Pimpinan perang dingin ketika itu Ronald Reagan dan Nikita Krushchev

Rujukan dan Bacaan Lanjut

Russians by Sting Songfacts. (n.d.). Retrieved March 13, 2017, from http://www.songfacts.com/detail.php?id=4299


Sting's Russians was inspired by illegal satellite viewings. (2010, July 15). Retrieved March 13, 2017, from http://www.express.co.uk/celebrity-news/187070/Sting-s-Russians-was-inspired-by-illegal-satellite-viewings

History.com Staff. (2009). Nikita Khrushchev. Retrieved March 13, 2017, from http://www.history.com/topics/cold-war/nikita-sergeyevich-khrushchev

Ronald Reagan and Executive Power | Presidential Leadership in the Cold War. (n.d.). Retrieved March 13, 2017, from http://reagan.civiced.org/lessons/middle-school/presidential-leadership-cold-war

J. Robert Oppenheimer. (n.d.). Retrieved March 13, 2017, from https://global.britannica.com/biography/J-Robert-Oppenheimer