Saturday, 25 March 2017

Masa Ibarat Pedang

Ada pepatah arab menyebut,
الوقت كالسيف، ان لم تقطعه قطعك

"Masa ibarat pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, kamu terpotong olehnya."


Saya pernah terjumpa satu gambar yang membandingkan keadaan hidup remaja dan orang dewasa. Remaja dikatakan mempunyai banyak masa dan tenaga tetapi tidak mempunyai wang. Orang dewasa pula mempunyai banyak wang tetapi sedikit tenaga dan masa.

Mengenangkan perkataan "tenaga" dan "masa", saya teringat sebuah hadith yang menyebut:
نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس الصحة والفراغ 

Dua nikmat yang banyak manusia sia-siakan ialah nikmat sihat dan waktu lapang.
(hadith riwayat bukhari)


Manusia memerlukan masa untuk melakukan segala-galanya. Sebut sahaja apa-apa pekerjaan, sama ada belajar, menyiapkan tugasan, bersukan dan juga beriadah, semuanya memerlukan sumber yang dikenali sebagai masa. Masa ialah aset berharga dalam kehidupan seseorang manusia.

Malangnya masa tidak seperti duit. Duit jika tidak dibelanjakan, maka ia tidak akan berkurangan. Duit juga boleh disimpan di dalam tabung sebagai persiapan untuk menghadapi saat-saat genting dalam hidup. Tetapi pernahkah kita mendengar istilah "menabung masa"? Masa, "digunakan" atau "tidak digunakan", akan sentiasa mengalir laju tanpa henti dan ia tidak boleh "disimpan". Bayangkan masa umpama duit yang sentiasa terbang keluar dari dompet sama ada kita membelanjankannya ataupun tidak membelanjankannya.

Sekiranya kita berfikir secara mendalam mengenai masa dan duit, maka kita akan dapati masa bukanlah soal "digunakan" atau "tidak digunakan". Masa ialah soal untuk apa ia digunakan. Tidak ada seorang pun yang "tidak menggunakan masa" walapun dia sedang "membuang masa". Masa akan sentiasa berkurang dan kita sentiasa berada dalam belenggu "defisit masa" dari saat kita dilahirkan sehinggalah saat kematian kerana masa tidak sama sekali boleh dikorek dari bumi seperti emas, perak dan petroleum, dicetak di bank seperti duit kertas, ditanam seperti hasil pertanian, diternak seperti lembu, kambing dan ayam, ditukar dengan sistem barter menggunakan lebihan barang lain dalam perniagaan mahupun diperoleh sebagai gaji untuk ditambah bagi mengatasi defisit.

Dalam surah al asr Allah berfirman:
   .{3} وَالْعَصْرِ {1}. إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ {2}. إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْر 
"Demi masa (1). Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian (2). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran (3)."

Jelaslah bahawa manusia yang tidak dalam kerugian masa hanyalah orang-orang beriman yang menggunakan masa dengan melakukan perkara-perkara berfaedah dan amal kebajikan.

Sesungguhnya dalam hidup ini kita tiada masa untuk memusuhi manusia dan menyibukkan diri dengan masalah yang tidak penting. Banyak lagi asas-asas fardhu ain yang belum dikuasai, banyak lagi ilmu-ilmu yang belum dipelajari, banyak lagi isu global yang belum difahami, banyak lagi anggota masyarakat yang belum dibela, dan terlalu banyak tanggungjawab yang belum terlaksana sedangkan masa kita kian lama kian bergerak laju ke arah penghujungnya.

Gunakanlah setiap detik yang ada dengan melakukan perkara-perkara yang membawa kepada peningkatan nilai diri dan meyumbang kepada keberdayaan masyarakat. Pengetahuan semasa dan ilmu yang dimiliki perlu sentiasa ditambah dan terus ditambah setiap hari terutamanya ketika sedang masih bergelar pelajar. Logik di sebalik lebih mengiktiraf potensi seorang pelajar berbanding orang dewasa dari sudut masa ialah masa lapang yang dimiliki oleh seorang pelajar masih belum perlu digunakan untuk memikul tanggungjawab yang lebih berat melainkan untuk meningkatkan potensi diri sebagai persiapan menghadapi fasa hidup yang lebih mencabar.

Ingatlah juga bahawa sebaik mana pun kita menggunakan masa, kita tidak akan pernah mampu untuk melakukan semua perkara. Natijah yang berkesan hanya boleh tercapai dengan kebaikan yang disusun secara terancang dan penyatuan potensi setiap anggota masyarakat setempat secara kolektif. Potensi dan kerberkesanan hasil usaha yang dilakukan oleh seseorang individu menggunakan kekuatannya sendiri sahaja bukanlah seperti kadar pertumbuhan dalam graf eksponen kerana ia akan sentiasa dihadkan oleh kekurangan yang dimiliki. Di sinilah keutamaan bergerak bersama individu-individu lain dalam satu kumpulan agar kekuatan masing-masing dapat mengatasi kelemahan masing-masing dan seterusnya melonjakkan potensi hasil yang boleh dituai daripada usaha yang digerakkan dengan nilai kerjasama.

Kesimpulannya masa bukan komoditi yang boleh dijual beli dan masa akan sentiasa bergerak cepat meninggalkan manusia. Manusia yang beruntung ialah mereka yang sentiasa mengoptimumkan penggunaan masa dengan melakukan kebajikan, amal soleh dan aktiviti yang melonjakkan kualiti diri dan masyarakat. Bergerak secara berpasukan dan saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran akan membawa untung di dunia dan juga di akhirat.

Bacaan Lanjut:
N, A. (n.d.). How `Amr bin Al-`As was aware of the Qur'an's Miracle due to this Surah. Retrieved March 25, 2017, from http://www.qtafsir.com/index.php?option=com_content&task=view&id=1086&Itemid=159#1

No comments:

Post a Comment